Sebenarnya terdapat banyak teknik yang boleh digunakan untuk melakukan scan atau memilih kaunter saham untuk dibeli dalam waktu-waktu tertentu. Hari ini saya akan berkongsi cara saya melakukan scan. Memandangkan strategi saya buat masa ini adalah 50% invest dan 50% trading, saya akan kongsikan teknik yang saya gunakan untuk kedua-dua strategi tersebut.
1. Scan Kaunter Saham untuk Invest
Dalam memilih kaunter saham berkualiti untuk saya invest, saya menggunakan Fundamental Analysis sebagai panduan. Saya telah kongsikan teknik yang saya gunapakai dalam entri ku khianati diri sendiri, namun hari ini saya kongsikan semula secara step by step supaya lebih mudah dijadikan panduan oleh pelabur baru.
1.1 Buka laman web iSaham Stock Screener
1.2 Klik pada Screeners dan kemudian klik List all screeners
1.3 Buat masa ini, anda dapat lihat 13 jenis screener di bawah kategori Fundamental termasuklah Value Screeners dan Dividend Screeners.
1.4 iSaham telah memberikan score dan melakukan ranking terhadap kaunter saham berdasarkan formula berkaitan untuk setiap kategori. Kebiasannya saya akan lihat setiap kategori untuk memilih saham yang menarik untuk saya invest. Memang banyak masa saya luangkan untuk memilih saham terbaik untuk saya invest. Disebabkan saya berniat untuk invest bagi tempoh masa yang panjang, tidak salah untuk luangkan lebih masa melakukan analisis secara Fundamental seperti ini.
1.5 Seterusnya saya check sama ada saham yang saya 'jumpa' melalui screening iSaham memenuhi 8 kriteria Fundamental yang saya kongsikan dalam entri sebelum ini Sebagai contoh kita ikuti analisis untuk kaunter Jaycorp.
1.5.1 Harga saham Jaycorp RM1.05, Fair Value RM1.75, MOS = RM1.05/RM1.75 = 60% (kurang daripada 2/3 ataupun 66.67%) OK
1.5.2 PE Ratio 8 (kurang daripada 10) OK
1.5.3 PEG 0.42 (kurang daripada 1) OK
1.5.4 Harga saham RM1.05, NTA RM1.02 (harga saham melebihi NTA) NOT OK
1.5.5 DE Ratio 0.39 (kurang daripada 1) OK
1.5.6 Current Ratio 2.12 (lebih daripada 2) OK
1.5.7 Dividend Yield 4.07% (lebih daripada 3%) OK
1.5.8 EPS YOY 125.48% (tinggi berbanding tahun lepas) OK
1.6 Berdasarkan guideline di atas, Jarcorp memenuhi 7/8 kriteria, boleh ulang semula step tadi untuk mencari kaunter saham yang memenuhi 8/8 kriteria. Untuk contoh kali ini, kita teruskan ke langkah seterusnya. Secara peribadi 7/8 sudah cukup baik bagi saya.
Seterusnya saya akan buka ChartNexus dan lihat chart Jaycorp untuk membuat anggaran waktu terbaik untuk membeli saham ini
Jaycorp dilihat dalam keadaan sideways. Support pada RM1 dan resistance pada RM1.10. Dalam keadaan ini saya tidak perlu terburu-buru melakukan pembelian. Sekiranya harga Jaycop selepas ini turun, boleh tunggu di paras RM1 untuk lakukan pembelian. Pada harga ini juga, Jaycorp secara automatik akan memenuhi 8/8 kriteria yang disenaraikan tadi, kerana harga tersebut di bawah paras NTA iaitu RM1.02, maka kriteria 1.5.4 akan dipenuhi. Sekiranya Jaycorp terus menaik, harga di atas RM1.10 boleh dipertimbangkan.
1.7 Untuk menjual, terpulang kepada anda. Penjualan boleh dilakukan sekiranya harga saham tersebut mencecah paras keuntungan yang okay bagi anda. Bagi saya, saya gunakan Fair Price sebagai rujukan. Saya simpan saham telah dipilih sehingga saham tersebut bukan lagi dikategorikan sebagai undervalued.
2. Scan Kaunter Saham Untuk Trading
Teknik untuk scan kaunter saham untuk tujuan trading sangat banyak. Terlalu banyak sebenarnya. Bergantung kepada selera masing-masing. Setakat ini, teknik yang bakal saya kongsikan adalah yang paling sesuai bagi diri saya buat masa ini.
2.1 Buka trading platform masing-masing. Pada paparan Live Quotes, susun semula senarai kaunter saham mengikut turutan volume paling tinggi berada di atas sekali. Tujuannya adalah untuk memilih kaunter saham mempunyai volume yang tinggi ataupun aktif sebagai filtering criteria yang pertama. Kaunter-kaunter ini kebiasannya lebih liquid, mudah untuk kita lakukan belian dan jualan. Sesuai untuk tujuan trading.
2.2 Filter out kaunter saham yang mempunyai harga di bawah paras risk tolerance masing-masing. Sebagai contoh, saham yang berharga RM0.10 setiap kali bergerak satu bid/tick (RM0.005), harga akan berubah sebanyak (RM0.005/RM0.10) 5% untuk setiap bid/tick, dua bid/tick dah 10%. Kalau jantung anda bagaikan nak tercabut melihat pelaburan anda bergerak dengan julat sebesar ini setiap saat, tetapkan harga saham paling sesuai dengan risk tolerance anda berdasarkan formula ringkas tadi. Untuk contoh kali ini, kita ignore saham di bawah harga RM0.30.
Filter out juga kaunter call dan put warrant. Ini kerana pergerakan call/put warrant tidak bergantung kepada prinsip supply and demand semata-mata, tetapi juga berdasarkan pergerakan underlying asset call/put warrant tersebut. Kaunter saham yang 3 huruf terakhir bermula dengan C adalah call warrant (contoh FGV-C11), dan H adalah put warrant (contoh HSI-H39).
Dalam contoh kali ini, setelah kita filter out ataupun ignore kaunter-kaunter berdasarkan kriteria tadi, kaunter yang disenarai pendek adalah
- AAX (RM0.38)
- KNM (RM0.405)
- FGV (RM1.78)
- MYEG (RM1.87)
- ARMADA (RM0.76)
- GADANG (RM2.48)
- AIRASIA (RM2.85)
- AWC (RM0.865)
2.3 Klik pada setiap saham tersebut. Filter out pula saham-saham yang mempunyai buy rate kurang daripada 60%. Tujuannya adalah untuk menyenarai pendek kaunter saham yang mempunyai buying interest yang tinggi. Secara teorinya apabila lebih banyak buyer yang sanggup membeli pada harga lebih tinggi daripada harga semasa berbanding seller yang sanggup menjual pada harga lebih rendah daripada harga semasa, kaunter tersebut mempunyai upside momentum yang lebih tinggi.
Dalam contoh kali ini. Kaunter yang mempunyai buy rate 60% dan ke atas adalah
- MYEG (69%)
- AWC (70%)
2.4 Buka ChartNexus untuk melihat technical chart MYEG dan AWC untuk menentukan Cut Loss/Stop Loss sekiranya kaunter ini tidak meneruskan trend menaik pada hari Isnin nanti.
- MYEG
- Current Price: RM1.87
- Target Price 1: RM1.89 (1.1%)
- Target Price 2: RM2.00 (6.9%)
- Cut Loss: RM1.72 (-8%)
- AWC
- Current Price: RM0.865
- Target Price 1: RM0.89 (2.8%)
- Cut Loss: RM0.785 (-9%)
2.5 Boleh berhenti di langkah 2.4 ataupun tambah satu lagi kriteria untuk membuat keputusan. Langkah seterusnya adalah dengan menilai risk/reward ratio.
- MYEG risk/reward = 8%/1.1% = 7.2, 8%/6.9%
- AWC risk/reward = 9%/2.8% = 3.21
Dalam kes ini AWC dilihat lebih menarik kerana risiko yang perlu diambil adalah lebih rendah berbanding potensi keuntungan yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun sekiranya anda yakin MYEG boleh menaik terus ke Target Price 2 iaitu RM2.00, risk/reward ratio untuk MYEG dalam kes ini adalah 8%/6.9% = 1.16. Menjadikan MYEG lebih attractive berbanding AWC.
Bagi mendapatkan lebih banyak pilihan, anda boleh terus melakukan scan untuk lebih banyak kaunter. Paling cantik sekiranya anda temui kaunter yang pempunyai risk/reward ratio kurang daripada 1. Bermaksud kaunter tersebut mempunyai potensi keuntungan lebih tinggi berbanding risiko yang perlu diambil.
Kesimpulan
Walaupun Fundamental Analysis dan Technical Analysis merupakan dua kaedah asas yang digunakan oleh investor mahupun trader, kebiasannya pada ketika pembelian nak dilakukan, tiba-tiba datang satu lagi analisis yang mengatasi kesemua analisis yang dilakukan sebelum ini. Analisis ini dinamakan GFA...ataupun Gut Feeling Analysis. Hasil analisis FA dan TA mengatakan tak sepatutnya beli, tiba-tiba GFA kata, boleh naik kot ni. Maka 'ter'beli lah kaunter tersebut.
Bagi saya tidak menjadi masalah sama ada FA, TA mahupun GFA yang menjadi pilihan anda semua. Seperti yang saya nyatakan dalam entri sebelum ini, perkara paling penting adalah untuk menjadi pelabur yang bertanggungjawab.
Iklan: Dapatkan akses Premium Screener iSaham secara percuma dengan membuka akaun CDS Malacca Securities melalui iSaham. Klik sini