Monday 1 June 2020

Kalau...

Pendahuluan

Hari ini saya kembali bertugas di pejabat seperti biasa setelah dua bulan setengah mengamalkan Work From Home dan kemudiannya disusuli dengan berselang-seli hadir ke pejabat.  Masih dalam proses transisi perasaan perasan daripada Full Time Trader kembali ke Part Time Investor/Trader.  

Niat sebelum tidur malam tadi, ok esok (hari ini) nak buat 2 perkara je

Expectation

1. Pagi-pagi nak layan merempit BOSO (Buy Open Sell Open) kejap
2. lepastu switch ke kaunter Mid Term dan teruskan kehidupan dengan penuh ketenangan. Masa weekend dah shortlist dah beberapa kaunter Mid Term yang menarik minat supaya tetap pendirian dan tidak goyang walau apa pun dugaan yang bakal melanda.

Mudah kan? Dua langkah sahaja. Dan masa yang diperlukan pun hanya beberapa minit.

Reality

1. Sampai pejabat buka screener BOSO kejap, ok nampak kaunter K1. Cantik. Memang ini lah kaunter yang diidamkan. Ranking No 1 pulak tu dalam BOSO hari ni. Mata tak berkedip tengok T-O price, 0.33, 0.335, leka sekejap bila tengok balik eh 0.355. Cantik ni.

Bila tengok anaknya si K1-WC, alahai yang ni lagi cantik. Maknya nampak mengorak langkah nak Gap Up jauh, anaknya pulak baru bertatih-tatih. 0.15...0.155. Check premium nampak ok, expiry date pun ok. Okeh set. Pagi ni BOSO anak. Potong que 08:59am, match 0.155. 

Tengok mak 5 minit buka pun dah terus memecut ke 0.40, kemudian 0.405, u-turn 0.40, 0.395, 0.39, 0.385. Ok boleh dah jual anak ni, supaya boleh teruskan kehidupan dengan tenang. Maka dilepaskan K1-WC pada 0.17. Syukur alhamdulillah 9.7% untuk beberapa minit. Step 1 selesai dengan jayanya.

2. Baru nak buka watchlist Mid Term untuk disauk, terrrnampak pulak kekasih lama (bulan lepas) si HLT. Gap up jugak rupanya. Laju pulak naik ke 0.73. Laju sangat ni. Bukan dalam shortlist Mid Term yang kaji semalam ni. Cuba untuk kuatkan iman menahan godaan. Terrrrrtoleh pula tengok anaknya HLT-WA. Eh. Kenapa jauh sangat beza ni. Kenapa mak dah 0.73 anak baru 0.42? Kalau exercise price 0.20 patut anaknya beza 20 sen je, patut anaknya 0.53. Jauh sangat ni. Check iSaham kejap eh betul la, premium negative ni. Jauh ni. Selamat ni. Ok ni. Boleh sauk ni. Baru siap tekan calculator, tengok-tengok harga dah 0.445. Ok masih jauh lagi. Baru je nak tekan buy sekarang......tiba-tiba telefon berdering pula...

Settle jawab telefon tengok balik harga dah 0.475. Ok maknya dah 0.83. Masih beza banyak. Bismillah dan terus sauk.

Maka Step 2 tak jadi lah macam yang dirancang semalam. Menjelang tengahari HLT-WA berlegar-legar atas 0.60. Alhamdulillah syukur. Rezeki ni. Esok-esoklah kembali ke Mid Term ya.

Isi

Panjang pula pendahuluan untuk entri kali ini.

Merujuk kepada Kamus Pelajar Edisi Kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan 'KALAU' membawa dua maksud

1. kata yang menyatakan syarat dan lain-lain
2. sekiranya; seandainya; umpamanya


Hari ni kita nak bincang sikit mengenai 'KALAU' berasaskan definisi No 2. 

Dalam kegembiraan melihat saham HLT-WA limit up pada paras 0.655 petang tadi, 37% di atas harga yang saya beli pada waktu pagi, terpalit sedikit penyesalan apabila tercheck harga K1-WC yang dilepaskan sebelumnya. 

KALAU lah tak jual K1-WC tadi, dah 90% profit dah ni...

Tengok pula ADVENTA, aduh yang ni pun dah tengok dah haritu, dah que dah minggu lepas 1.07 tapi tak match, naik pulak tiga hari dah lebih 100% ni KALAU beli jugak atas sikit.

Aduh CAREPLS pun, dah jual semua haritu 0.915 memang la untung 169% dah, tapi KALAU simpan ni dah 435% dah ni.

Walaupun dalam entri yang lepas saya ada tulis tentang rezeki, bisikan-bisikan KALAU ni tetap jugak hadir. Dengan seronoknya berkongsi dengan kawan-kawan kisah KALAU saya tadi, ada juga hadir sekelumit rasa bersalah. Rasa macam perasaan macam ni salah. Walaupun seronok bercerita tapi rasa macam salah. 

Bila check balik. Memang salah. Macam ada teringat perkataan kalau ni ada kaitan dengan bisikan syaitan. Check punya check jumpa potongan ayat Al Quran dan hadith ni.



Hukum asal menggunakan perkataan “kalau” dan seumpamanya adalah harus. Namun demikian, jika penggunaannya merujuk kepada kekecewaan kerana tidak dapat menerima taqdir Allah SWT, maka ia adalah ungkapan yang dilarang. Ia sebagaimana firman Allah SWT:


أَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَقَالُواْ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ إِذَا ضَرَبُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَوۡ كَانُواْ غُزّى لَّوۡ كَانُواْ عِندَنَا مَا مَاتُواْ وَمَا قُتِلُواْ لِيَجۡعَلَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ حَسۡرَة فِي قُلُوبِهِمۡۗ

 

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh. Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka. 

(Surah Ali Imran : 156)

 

Baginda SAW turut menjelaskan larangan tersebut menerusi sabdanya:

 

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

 

Maksudnya: "Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tapi katakanlah: Sudah takdir Allah, Allah melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kerana sesungguhnya kata "kalau" itu membuka pintu amalan syaitan.

(Riwayat Muslim, no. 22664)


Boleh tengok ulasan penuh di sini.

Insaf

Dengan harapan perasaan insaf ini kekal lama, saya nukilkan entri KALAU kali ni. Mungkin ada rakan-rakan pelabur yang tersilap seperti saya. Terutama sekali di waktu sekarang, di waktu saham bersusun-susun mengejar limit up setiap hari. 

Mungkin sesuai digantikan dengan perkataan syukur. Ingat kembali keuntungan-keuntungan yang pernah kita peroleh. Fokus kepada rezeki yang tidak disangka-sangka pernah kita dapat. Anda masih baharu dan belum merasai keuntungan dalam saham sekalipun, sekurang-kurangnya kita diberikan juga sedikit rezeki mengenali dunia saham. 

p/s: Buka akaun CDS saham patuh syariah di sini